Cara urus uri ikut Islam

DATUK, saya ingin bertanya mengenai status uri, adakah ianya tergolong sebagai najis? Adakah ia perlu dibawa pulang ke rumah dan ditanam? Bolehkah sekiranya uri itu ditinggalkan di tempat isterinya bersalin dan jika perlu ditanam adakah ia perlu disucikan terlebih dulu?


JAAPAR

Subang Jaya

Uri adalah ‘sarung’ yang terbentuk dalam rahim ketika kehamilan dengan salur darah dan bersambung dengan bayi menerusi tali pusat.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari tempat bayi maka ia adalah bersih dan perlu diperakukan dengan baik seperti ditanam dan tidak ditinggalkan merata-rata. Ini bagi mengelak daripada ia dimakan anjing dan binatang lain.

Sebaiknya dibersihkan dulu dan ada petua orang tua agar ia dibasuh dengan asam supaya tidak berbau hanyir darah yang mana boleh menarik deria binatang untuk menggali dan memakannya.

Berzina dengan bukan Islam

SAYA pernah bekerja di luar negara dan mempunyai kekasih wanita bukan Islam dan pernah berzina beberapa kali sepanjang saya di sana.

Saya masih lagi berhubung dengannya walaupun sudah pulang ke tanah air. Sebelum saya pulang, dia pernah mengadu kepada saya yang dia belum keluar haid.

Apakah hukum dan patut saya lakukan jika benar dia mengandung? Apa akan terjadi pada anak di dalam kandungannya itu?

INSAN TERLANJUR

Berzina dengan wanita asing itu adalah satu dosa besar. Lebih menyedihkan berlaku antara orang Islam dan bukan Islam. Jika saudara mahukan jawapan berkaitan hukum maka hukumnya adalah berdosa besar.

Saudara perlu segera bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Jika benar dia mengandung, hukum menentukan bahawa saudara bukan bapanya yang sah kerana hubungan yang dijalankan tidak melalui ikatan pernikahan yang sah.

Jika mahu memperisterikan wanita tersebut, adakah dia mahu memeluk Islam kerana saudara sebagai orang Islam hanya boleh berkahwin dengan wanita yang seagama dengan saudara.

Jalan terbaik sekarang ialah bertaubat dan memulakan kehidupan yang diredai Allah. Carilah wanita beriman agar hidup diberkati.


Makan sebelum solat

SAYA ingin tahu, sekiranya selepas mengambil wuduk (air sembahyang) kemudian saya makan sedikit dan minum kemudian saya terus mendirikan solat, adakah wuduk tersebut sebenarnya terbatal dan adakah solat saya itu sah?

HAKIM
Pasir Puteh



Wuduk tidak batal dengan makan dan minum. Jika selepas ambil wuduk kemudian makan dan minum selama mana tidak melakukan perkara membatalkan wuduk seperti keluar sesuatu dari salah satu lubang misalnya maka sah solat itu.

Cuma sebaiknya selepas makan dan minum, berkumurlah terlebih dulu supaya ketika solat tidak terasa sisa makanan dalam mulut yang boleh membatalkan jika tertelan.



Hukum naik pelamin

SAYA ingin mengetahui penjelasan mengenai hukum naik pelamin atau pun membuat pelamin untuk kenduri kahwin.

Saya runsing memikirkan hal ini kerana akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi


RUNSING
Pulau Pinang


Perkahwinan adalah ikatan suci yang sunnah daripada Nabi SAW.

Disunatkan juga mengadakan kenduri kahwin yang bertujuan mengumumkan pasangan bagi mengelakkan fitnah serta berkongsi kegembiraan dengan masyarakat.

Rasulullah bersabda: “umumkan perkahwinan dan langsungkanlah di masjid dan pukul lah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.

“Ketika sahabat Abdul Rahman bin ‘Awf berkahwin, Rasulullah bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”

Sebahagian besar masyarakat kita mengumum dan memperkenalkan pengantin melalui pelamin di mana mereka disandingkan sebagai cara diperkenalkan pada umum.

Adat setempat tidak disanggah agama selama mana tidak bercanggah akidah dan syariat.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hukumnaikpelamin/Article/index_html

Wasiat lisan perlukan saksi

Ibu saudara saya sudah meninggal dunia dan arwah tidak meninggalkan wasiat bertulis bagi harta sepeninggalannya.

Ketika arwah hidup, dia pernah berkata bahawa semua hartanya diserahkan kepada saya dan kakak kerana arwah menjaga kami sejak kecil. Jadi, adakah wasiat lisan yang disebutnya itu perlu dilaksanakan? Adakah pembahagian hartanya perlu mengikut hukum faraid iaitu membahagikan kepada ibunya dan adik-beradiknya kerana dia tidak mempunyai suami dan anak?

SHIKIN
Kuala Pilah, N Sembilan



Dakwaan mesti dibuktikan. Itu adalah falsafah dan kaedah usul fiqh. Jika saudari boleh membuktikan bahawa ibu saudara benar-benar menyatakan niatnya untuk memberikan hartanya, sama ada melalui akuan sumpah dan saksi, sehingga boleh dibuktikan memang ada si mati mempunyai niat sebegitu, maka ia boleh dianggap wasiat.

Seandainya tiada bukti dan saksi, sukar untuk warisnya menerima hakikat berkenaan kecuali jika mereka semua bersetuju harta itu diserahkan pada saudari. Peninggalan hartanya sudah menjadi pusaka dan sukar memastikan kedudukan sebenar sekiranya ia hanya bersandarkan ingatan kata-kata saja. Jika terbukti maka itu adalah wasiat.

Jika tidak, warisnya mempunyai hak sepenuhnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wasiatlisanperlukansaksi/Article/index_html