SAYA berusia 27 tahun dan masalah saya hadapi meskipun kelihatan remeh, ia membuatkan saya tertekan kerana boleh memberi impak dalam kehidupan saya seharian.
Masalahnya, saya mempunyai janggut yang lebat. Setiap pagi dan petang saya terpaksa mencukur janggut saya supaya ia tidak kelihatan. Saya semakin risau kerana makin hari janggut saya makin lebat manakala misai saya juga agak lebat.
Pada masa sama, saya mempunyai berat badan berlebihan. Sebelum ini kitaran haid saya terhenti selama dua tahun tetapi kini, haid saya normal semula selepas saya berjaya mengurangkan sedikit berat badan saya.
Apakah yang harus saya lakukan untuk menghalang janggut saya ini tumbuh? Apakah rawatan yang perlu saya lakukan?
MIN,
Kuala Lumpur
INI bukanlah masalah remeh. Keadaan anda dinamakan hiper-androgenism, suatu keadaan diakibatkan oleh berlebihan hormon kelelakian sehingga boleh menyebabkan beberapa perubahan seperti berlebihan atau penebalan rerambut misai atau janggut (hirsuitism), jerawat, penambahan berat badan, gangguan haid akibat anovulasi dan seumpamanya. Ujian darah pula mendapati paras hormon androgen yang berlebihan.
Dalam kebanyakan kes, ia disebabkan sindrom polisistik ovari (PCOS). Selain itu, penyebab berkaitan adalah kekurangan enzim tertentu, ketumbuhan ovari atau adrenal yang menghasilkan androgen, sindrom cushing, hiperprolaktinemia dan seumpamanya.
Anda perlu berjumpa doktor untuk memastikan yang mana satu daripada penyakit di atas menjadi punca masalah anda, sama ada bertemu pakar sakit puan atau pakar perubatan endokrinologi.
Pemeriksaan fizikal, ultrabunyi pelvis dan kelenjar adrenal serta ujian darah dapat membantu mengesannya. Ada yang memerlukan rawatan pembedahan segera.
Di samping itu, doktor juga akan mengesan sama ada anda turut mempunyai masalah berkaitan seperti penyakit PCOS yang juga dikaitkan dengan masalah hormon insulin, diabetes mellitus, berlebihan kolesterol darah, darah tinggi, penebalan endometrium berlebihan dan seumpamanya.
Anda juga akan diberi panduan mengenai ubahsuai pemakanan untuk terus menurunkan berat badan anda sehingga mencapai tahap ideal.
Masalah janggut dan misai juga memerlukan kesabaran. Rawatan yang diberikan bertujuan mengurangkan paras hormon androgen darah, namun ini mengambil masa.
Lazimnya ubatan yang digunakan mengandungi bahan antiandrogen yang boleh digabungkan dengan pil kontraseptif tertentu. Penurunan hormon androgen ini akan mengurangkan penghasilan rerambut baru di kawasan terbabit.
Sementara anda mengambil rawatan perubatan ini, anda boleh meneruskan mencukur, cuma janggut atau misai akan kembali panjang dengan cepatnya.
Mencabut janggut atau misai pula dapat bertahan lebih lama sebelum rerambut baru tumbuh lagi. Rawatan laser juga boleh dilakukan namun ia memakan kos yang lebih.
0 comments:
Post a Comment