Fasa tindak balas seksual lelaki


WANITA mempunyai empat fasa iaitu rangsangan, orgasm, klimaks dan resolusi. Lelaki juga mempunyai fasa seumpama ini, bolehkah doktor jelaskan dan beri perbezaan antara fasa lelaki dan wanita?

Ingin Tahu,
Kuala Lumpur.


ADA lima fasa tindak balas seksual untuk lelaki. Ia lebih kurang sama dengan wanita tetapi respons atau tindak balas organ seksual adalah berlainan. Fasa itu ialah:

  • Fasa terangsang (excitement /arousal)
  • Fasa plateau
  • Fasa orgasm
  • Fasa resolusi
  • Fasa refraktori

Fasa terangsang

Ini adalah fasa pertama dalam respons seksual lelaki. Fasa ini tercetus akibat dari rangsangan erotik sama ada secara fizikal atau mental. Misalnya, ciuman, pelukan, sentuhan dan melihat imej erotik.

Pada fasa ini, tubuh akan menyediakan diri untuk fasa kedua iaitu fasa plateau. Ketika fasa ini, beberapa perubahan akan berlaku pada badan. Ini termasuk peningkatan degupan jantung, kadar pernafasan dan tekanan darah.

Ketegangan pada puting juga akan berlaku terutama jika ada stimulasi. Keadaan ini boleh dilihat dalam 60 peratus daripada lelaki. Dua puluh lima peratus lelaki juga mengalami sex flush iaitu peningkatan aliran darah akibat pembukaan saluran darah terutama ke bahagian muka.

Ini menyebabkan muka seseorang itu kelihatan merah dan panas. Pada sesetengah otot terutama pada bahagian abdomen, punggung dan pelvis akan berlaku peningkatan tonus dan kontraksi berkala. Otot pada bahagian anus juga akan mengalami kontraksi.

Ketika ini, zakar mula menegang. Bagaimanapun, ketika fasa ini, boleh hilang jika tiada stimulasi berterusan. Kedua-dua buah zakar akan naik ke atas dan kerandut buah zakar akan menjadi tegang dan mengecut.

Fasa plateau

Fasa ini adalah keadaan di mana penetrasi akan berlaku. Ketika fasa ini, berlaku peningkatan sirkulasi darah terutama ke batang zakar. Degupan jantung juga meningkat secara berterusan.

Sesetengah individu akan mula mengeluarkan peluh. Ketika fasa ini, seseorang akan merasai kenikmatan hubungan seksual yang tinggi (increase in sexual pleasure). Ini diiringi pengecutan berkala otot pelvis dan punggung.

Akibat dari pengecutan otot ini, leher pundi kencing akan tertutup. Ini untuk mengelak air mani masuk ke dalam pundi kencing semasa ejakulasi. Pengecutan berkala otot juga akan berlaku pada pangkal zakar.

Ketika ini, kelenjar seminal dan kelenjar Cowper akan banyak mengeluarkan cecair iaitu air mazi. Kedua dua buah zakar akan menaik lebih tinggi ke arah badan

Zakar akan menjadi tegang sepenuhnya. Fasa plateau ini bergantung kepada individu. Jika seseorang itu mempunyai masalah ejakulasi pra matang, fasa ini amat pendek. Ada juga individu tidak mengalami fasa ini dan terus ke fasa orgasm walaupun penetrasi belum berlaku.

Fasa orgasm

Fasa ini menandakan berakhirnya fasa plateau. Fasa ini adalah peringkat di mana ketegangan seksual akan dilepaskan (release of sexual tension). Seseorang lelaki akan mengalami satu kitaran kontraksi otot pada bahagian punggung, anus dan pelvis.

Setiap kitar akan mengambil masa 0.8 saat dan berlaku berulang-ulang. Akibat dari kontraksi ini, ejakulasi akan berlaku dan seseorang lelaki akan mengeluarkan purata 2 hingga 5ml air mani.

Pada masa ini juga akan berlaku beberapa lagi tindak balas invontari seperti jeritan, laungan dan kekejangan otot pada beberapa bahagian badan. Seseorang individu juga akan mengalami perasaan euphoria ketika dalam proses orgasma ini.

Selepas proses orgasma selesai, lelaki mengalami keadaan umpama keletihan (perceived tiredness). Lazimnya, lelaki ingin berehat ketika ini. Ia berlaku akibat pengeluaran sejenis hormone yang dikenali sebagai endorphin yang menyebabkan seseorang menjadi tenang dan relaks .

Fasa resolution

Fasa ini membawa badan ke tahap relaks. Darah mula mengalir balik dari kemaluan ke badan dan zakar akan mula menjadi lembik. Kedua-dua buah zakar akan turun ke bawah iaitu ke tempat asal manakala kerandut zakar menjadi kendur semula.

Ketegangan otot akan mula hilang. Puting akan kembali ke bentuk asal dan sex flush juga mula hilang. Degupan jantung, kadar pernafasan dan tekanan darah akan kembali ke tahap asal.

Fasa refraktori.

Fasa ini tidak dialami wanita. Ketika fasa ini. seseorang lelaki tidak akan mendapat ereksi atau ejakulasi walaupun mendapat stimulasi. Bagaimanapun, tempoh refraktori ini berbeza mengikut umur.

Pada peringkat umur awal remaja dan dewasa, tempoh refraktori ini mengambil masa beberapa minit sahaja. Tetapi bagi mereka yang lebih berusia, ia boleh mengambil masa beberapa jam atau hari bergantung kepada paras hormone testosterone dalam badan.

Saudara, dengan pengetahuan dari aspek fasa fasa seksual lelaki, jelas menunjukkan aktiviti hubungan seks yang teratur adalah baik untuk kesihatan. Ini kerana ia adalah salah satu aktiviti fizikal yang boleh meningkatkan degupan jantung dan pernafasan serta membabitkan kontraksi otot.

Kajian di negara Barat menunjukkan jika lelaki itu melakukan hubungan seks tiga kali seminggu, ia boleh menurunkan risiko serangan sakit jantung, strok hingga separuh.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090627094004/Article/index_html

0 comments: